Label Cloud

Bajet 2012 ~ Transformasi Nasional

Assalamulaiku w.b.t;
Salam 1Malaysia..

Alhamdullilah.. petang tadi kita telah mendengar PM kita membentangkan Bajet 2012. Beberapa berita gembira buat rakyat juga telah kita dengar. Ramai juga yang tersenyum lebar dengan berita-berita gembira tersebut kann..

Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara ~ Inilah tema belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh PM Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau mengharapkan agar Bajet ini dapat memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat, daripada golongan gelandangan, pemandu teksi, nelayan, warga emas, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, golongan wanita dan belia, hinggalah kepada kalangan kontraktor dan pelabur.

Belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Apa yang saya dapat rumuskan ( chewahh.. macam saya pula pengulas / pakar ekonomi ye - layan je laa)... terdapat 5 fokus utama yang digariskan dalam Bajet 2012 ini:

1. Meligatkan Pelaburan; Mengungguli Modal Insan,
2. Mencerna Kreativiti Dan Mencetus Inovasi,
3. Program Transformasi Luar Bandar,
4. Memperkejap Perkhidmatan Awam dan
5. Meredakan Inflasi Dan Mengimarah Kehidupan Rakyat.

Antara penyataan-penyataan PM yang amat menarik perhatian saya ialah:

Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.


Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;

Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan

Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.

Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.

Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum 500 ringgit dan bayaran bantuan 500 ringgit kepada pesara Kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum seribu ringgit bagi penjawat awam dan bantuan seribu ringgit bagi pesara Kerajaan. Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara Kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak 4 bilion ringgit.

Pada masa ini, barah pangkal rahim (kanser servik) merupakan barah kedua tertinggi di kalangan wanita Malaysia. Kemajuan dalam sains perubatan telah membolehkan penyakit ini boleh dicegah melalui suntikan imunisasi. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan suntikan imunisasi secara percuma kepada murid perempuan tingkatan satu di semua sekolah Kerajaan, bantuan Kerajaan, swasta dan antarabangsa mulai bulan April hingga Mei 2010.

Bagi membolehkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan kemudahan imunisasi, Kerajaan akan menyediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Perancang Keluarga Negara di seluruh negara. Kos imunisasi ini adalah 150 ringgit bagi tiga suntikan. Untuk tujuan ini, peruntukan 50 juta ringgit akan disediakan pada tahun 2012.

Di samping itu, untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.


Dalam usaha untuk terus meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak, Kerajaan bercadang membuat pemberian tunai secara one-off atau sekali sahaja seperti berikut:
Pertama: Bantuan sebanyak 500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Langkah yang julung kali diambil ini membuktikan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah akibat kenaikan kos sara hidup. Seramai 3.4 juta isi rumah atau 53 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah dijangka mendapat manfaat daripada bantuan ini. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit. Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Kedua: Bantuan persekolahan 100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara. Memandangkan bantuan ini disasarkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, atas dasar kebertanggungjawaban sosial, terpulanglah kepada budi bicara penjaga atau ibu bapa yang berkemampuan untuk menerima atau tidak. Di atas semuanya, langkah ini dijangka dapat meringankan beban perbelanjaan persekolahan. Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.3 juta pelajar dan melibatkan peruntukan 530 juta ringgit. Bantuan ini juga akan dilaksanakan melalui akaun Bank Simpanan Nasional

Semoga Bajet 2012 ini dapat memberikan manfaat kepada semua golongan masyarakat, tidak kira kaum dan agama.
Sekian. Ulasan yang tidak seberapa ini.

0 comments:

 
© free template by anjunglarik